faq2  hubungi2 maklumbalas2  peta2

8c65deda 6b5a 4a37 a09c e74978d0b298


BEBERAPA FAKTOR UTAMA DIKENALPASTI PUNCA

BANJIR DI PULAU PINANG


Dalam tempoh 15 jam, P. Pinang menerima hujan 372 mm iaitu umpama satu setengah bulan jumlah hujan - Kon Yeow

GEORGE TOWN - Jumlah hujan lebat luar biasa yang bertembung dengan kemuncak air pasang setinggi 2.7 metar pada pukul 1 petang semalam (4 November) menjadi punca kejadian banjir di Pulau Pinang. Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, YB Chow Kon Yeow berkata, jumlah hujan yang tertinggi yang turun berterusan seperti yang dicatatkan oleh stesen hujan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak 4 November bermula 2 petang sehingga 5 pagi ini (5 November) dikenal pasti sebagai punca kejadian banjir. Beliau berkata dalam tempoh 15 jam, hujan yang diterima adalah sebanyak 85 peratus daripada purata tahunan hujan di negeri ini iaitu sekitar 2,500 mm setahun. "Baki hujan adalah sebanyak 15 peratus lagi atau 375mm dijangka turun pada hujung tahun ini bermula November dan Disember. "Namun, sejak semalam (4 November), dalam tempoh 15 jam, kita menerima hujan 372 mm iaitu umpama satu setengah bulan jumlah hujan. "(Dan) lebih 100 kawasan di kelima-lima daerah terjejas akibat banjir," ujarnya pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di Bilik Kawalan CCTV Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dekat Komtar tadi.

 

BANJIR TELUK BAHANG (Berita 21817)

 Keadaan banjir di Teluk Bahang Daerah Timur Laut

 

Menurut Kon Yeow, kejadian banjir yang berlaku juga adalah disebabkan beberapa faktor utama lain, antaranya sebahagian sungai dan sistem saliran sedia ada tidak dapat menampung jumlah kadar aliran air yang tinggi rentetan jumlah hujan diterima adalah sangat tinggi. "Masih juga terdapat beberapa kemudahan dan utiliti yang dibina menyeberangi sungai sserta parit utama terlalu rendah dan menghalang aliran air semasa hari kejadian."(Dan) juga terdapat sampah sarap daripada domestik, industri serta pertanian yang dibuang ke dalam sungai dan parit monsun menyebabkan sistem saliran tidak berfungsi dengan baik terutamanya apabila melibatkan rumah pam," katanya. Kon Yeow yang turut sama dalam pemantauan banjir di Pulau Pinang berkata, Kerajaan Negeri melalui agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan akan terus melaksanakan projek tebatan banjir terutamanya di kawasan hotspot banjir seluruh negeri. "Jumlah RM150 juta yang diperuntukan dalam Belanjawan 2017 digunakan bagi projek-projek tebatan banjir dan ia (projek tersebut) hanya akan siap dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi. "Buat masa ini kerja-kerja pemantauan dan penyelenggaraan akan diteruskan dan pemantauan berterusan akan dibuat melalui kawalan CCTV di sini. "Saya akui bahawa sistem saliran yang ada kini tidak dapat menampung keadaan sedemikian (jumlah air hujan yang tinggi), dan saya harap semua rakyat dapat bersabar dan kita sama-sama menghadapi situasi ini. "Kami (Kerajaan Negeri dan MBPP) menjangkakan di bahagian pulau keadaan akan pulih semula lewat petang ini, manakala di bahagian Seberang Perai kita masih menunggu laporan tetapi difahamkan akan pulih petang ini juga...itupun sekiranya keadaan cuaca baik," jelasnya yang turut meminta supaya rakyat mengambil langkah berhati-hati dan menjaga keselamatan diri dan keluarga. Berikut adalah jumlah hujan dicatatkan dalam tempoh 15 jam seperti yang direkodkan oleh stesen hujan JPS: Bagi daerah Timur Laut (DTL) jumlah hujan diterima sebanyak 289 milimeter (mm) seperti yang dicatatkan di Stesen Sungai Pinang. Bagi daerah Barat Daya (237mm) di Stesen Tali Air Besar Sungai Pinang, Balik Pulau; di Stesen Pajak Song (Seberang Perai Utara, SPU) (373 mm); di Stesen Cherok Tok Kun (Seberang Perai Tengah, SPT) (327mm) dan di Stesen Simpang Ampat (Seberang Perai Selatan, SPS) (165mm). Manakala Amaran Hujan Lebat (Peringkat Jingga) telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada pukul 6 petang, 4 November dengan hujan lebat berterusan dan angin kencang dijangka berterusan sehingga 5 November 2017.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN

 

519cd026 0bd7 403b bd95 939f9f4ee103

Dato' Seri Najib (duduk, tengah) hadir mendengar sesi taklimat di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah, hari ini.

 


 

13 Projek Jangka Panjang Bernilai RM1 Bilion

Untuk Pulau Pinang

 


 

TASEK GELUGOR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 13 projek jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir di negeri Pulau Pinang dengan anggaran kos sebanyak RM1 bilion.

Pengumuman itu dibuat Najib ketika membuat lawatan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Agama Rakyat Nyior Sebatang dekat Tasek Gelugor dan menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak akan membiarkan Pulau Pinang berada dalam kesusahan.

"Hasil perbincangan antara Kerajaan Pusat dan negeri kita akan menjalankan 13 projek bagi menangani masalah banjir di Pulau Pinang di masa depan dengan anggaran kos RM1 bilion," katanya.

 51485960860 DSNajibRosmah
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor menaiki bot melihat keadaan Sekolah Menengah Paloh Hinai yang ditenggelami air ketika meninjau kawasan Pekan yang dilanda banjir hari ini. - Foto Bernama

 

Sementara itu, Najib mengakui bencana banjir yang melanda negeri itu adalah di luar kemampuan namun tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada sikap manusia.

"Saya ingin ingatkan kepada pemaju perumahan bahawa dalam mengejar keuntungan dan pembangunan, faktor alam sekitar perlu diberi perhatian bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

"Penduduk setempat juga diingatkan untuk sentiasa menjaga alam sekitar selain mengelak daripada membuang sampah sesuka hati," katanya.

Terdahulu, Najib tiba di Pulau Pinang sekitar jam 10.40 pagi dengan ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebelum di bawa ke Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam bagi mendengar taklimat.

Najib dalam ucapannya turut memberi jaminan akan terus menyalurkan bantuan kepada Pulau Pinang seperti mana yang dilakukan kepada Kelantan sewaktu berdepan bencana banjir.

Banjir di Pulau Pinang pada 5 November lalu merupakan yang terburuk dalam sejarah negeri itu dengan mencatatkan tujuh kematian. - AWANI

 

 

banjir 1



Pulau Pinang, Seberang Perai

Lumpuh Dilanda Banjir


 

GEORGE TOWN – Pulau Pinang hari ini lumpuh selepas puluhan jalan ditutup dan ratusan rumah di lima daerah di negeri ini

dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih 15 jam sejak semalam.

Hujan lebat dan angin kencang sejak 2 petang dan berlarutan sehingga 5 pagi ini juga menyebabkan ratusan pokok dan beberapa kawasan mengalami kejadian tanah runtuh.

Hampir keseluruhan kawasan rendah di Pulau Pinang dinaiki air setinggi 0.2 meter hingga 1 meter berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat dan bertembung dengan kejadian air pasang di laut mengakibatkan limpahan air berlaku dengan pantas.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata 1,968 mangsa banjir kini ditempatkan di beberapa pusat pemindahan banjir yang dibuka di empat daerah di negeri ini.

Beliau berkata 1,125 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir di daerah Seberang Perai Tengah, 615 mangsa di Seberang Perai Utara (SPU), 70 mangsa di daerah Timur Laut dan 158 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir di daerah Barat Daya.

“Angkatan Tentera Malaysia sudah menghantar anggota-anggota mereka di daerah Timur Laut. Di kawasan Seberang Perai kita masih menunggu anggota tentera dari Kem Sungai Petani dan kita amat perlukannya. Ada ramai mangsa-mangsa yang hendak kita selamatkan.

“Keadaan sekarang lebih baik sikit kerana hujan telah reda. Sungguhpun begitu, air banjir masih belum surut dan kita lihat angin masih kuat. Kita masih bimbang tentang kejadian yang tidak diingini kerana angin kuat dan kita bimbang hujan akan kembali lagi,” katanya di sini, hari ini.

Lim berkata kejadian angin kencang yang melanda negeri ini awal pagi ini adalah sesuatu yang tidak dijangka.

“Angin yang begitu kuat tak pernah kita lihat bersama hujan lebat (dan ia) benar-benar telah melebihi keperluan kita. Kita tidak ada sumber yang cukup untuk menangani keperluan mangsa-mangsa banjir. Terima kasih pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta semua pasukan penyelamat yang datang membantu.

“Saya harap semua dapat terus jaga keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

Tinjauan Bernama di kawasan Seberang Jaya, dekat sini mendapati kawasan berkenaan paling teruk terjejas dengan beberapa bahagian Hospital Seberang Jaya (HSJ) dinaiki air namun keadaan masih terkawal dan tiada pesakit dipindahkan.

Seramai 21 mangsa banjir daripada enam keluarga ditempatkan di pusat pemindahan banjir sementara di Taman Siakap, Seberang Jaya selepas kawasan rumah mereka dinaiki air dengan begitu pantas pada kira-kira pukul 7 malam.

Sementara itu, Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Ramzi Ahmad berkata hujan lebat dan angin kuat itu turut menyebabkan empat penerbangan yang sepatutnya mendarat di lapangan terbang berkenaan terpaksa dilencongkan.

Katanya tiga penerbangan dilencongkan ke Lapangan Terbang Subang manakala satu penerbangan lagi dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan kesemua mendarat dengan selamat.

“Berikutan cuaca buruk itu, lebih 26 penerbangan yang berlepas dari LTAPP turut mengalami kelewatan, namun operasi di lapangan terbang berjalan lancar. Pada masa ini semua operasi penerbangan berjalan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Rapid Penang menghentikan sementara operasi perkhidmatan basnya berikutan kejadian banjir kilat di bahagian pulau dan tanah besar.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rapid Penang berkata “banyak jalan utama dinaiki air dan demi keselamatan orang ramai, kami tidak mempunyai pilihan selain menghentikan operasi sehingga keadaan kembali pulih,” kata kenyataan itu sambil meminta orang ramai merujuk laman Facebook Rapid Penang di rapidpgfans untuk maklumat terkini. – BERNAMA

 

22310247 204196120121579 9110710373425013138 n

 

 


 

Program Kesedaran Pencemaran Sungai Bersama 

Tadika Nur Cemerlang Seberang Jaya Pulau Pinang

 


 

Pada tarikh 11 Oktober 2017 (Rabu), pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Seberang Perai Tengah (JPS SPT) yang diketuai oleh Jurutera Daerah Ir. Adhar Bin Yahaya telah bersama sama menjalankan Program Kesedaran Pencemaran Sungai bersama kanak - kanak di Tadika Nur Cemerlang Seberang Jaya Pulau Pinang. Objektif pada program kali adalah bertujuan untuk memupuk tentang kesedaran mengenai bahaya pencemaran sungai sejak kecil lagi bersesuaian dengan peribahasa "Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya".

 

 

22365408 204195520121639 1409466552955439405 n

 JD Adhar menyampaikan taklimat kepada kanak - kanak Tadika Nur Cemerlang

 

 

22308822 204195310121660 3983575165415442840 n

"Ayuh anak - anak. Senyum..."

 

Pelbagai aktiviti yang telah dianjurkan oleh pihak JPS SPT seperti :_

 

  1. Penerangan Kebersihan Sungai Kepada Pelajar
  2. Pertandingan Mewarna Bertemakan Sungai
  3. Pemberian Cenderahati Kepada Pihak Tadika
  4. Sesi Bergambar

 

Program ini berlangsung pada pukul 9.00 pagi dan berakhir kira - kira pada pukul 1.00 tengah hari.  Ini adalah satu inisiatif daripada JPS SPT bagi mendekatkan diri dengan orang awam terutamanya kanak - kanak dan membantu menyampaikan maklumat - maklumat yang bermanfaat mengenai alam sekitar khususnya pemeliharaan sungai.

 

22310419 204195626788295 5622010045173547453 n22310322 204195706788287 5659700565748559323 n

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sistem Saliran Lebih Berkesan Bagi Hadapi Fenomena Iklim

HAMIM SAMURI (duduk, tengah) bergambar bersama para peserta Persidangan Pengurusan Air Larian Hujan dan Kawalan Hakisan Tanah di Hotel TH , Kuala Terengganu hari ini. - UTUSAN

 

Sistem Saliran Lebih Berkesan Bagi Hadapi Fenomena Iklim

 

KUALA TERENGGANU 18 Sept. - Banjir kilat yang kerap berlaku di beberapa bandar utama di negara ini sepanjang tahun ini termasuk terbaharu di Pulau Pinang dan Kedah Jumaat lalu disebabkan oleh taburan hujan luar biasa ekoran gejala perubahan iklim global.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Hamim Samuri berkata, kebanyakan sistem saliran sedia ada di kawasan terbabit tidak mampu lagi menampung kuantiti air hujan terlalu tinggi secara mendadak yang diburukkan lagi oleh pembangunan yang tidak dikawal.

“Perubahan iklim global itu menyebabkan kita tidak dapat lagi menjangka jumlah keamatan hujan di sesuatu kawasan berdasarkan data lampau selain taburan (hujan) yang tidak lagi mengikut musim selain perubahan lokasi tumpuan (hujan).

“Umpamanya ada beberapa kawasan lembangan sungai di negara ini yang dahulu merupakan kawasan tadahan hujan kerana faktor muka bumi kini tidak lagi menerima hujan dalam kuantiti tinggi. Perubahan ini didapati semakin ketara sejak setahun lalu,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau berkata, kajian terperinci perlu dilaksanakan dengan bantuan ahli profesional seperti Pertubuhan Air Larian Hujan Malaysia (MS0) bagi membantu kerajaan menentukan kaedah reka bentuk sistem saliran yang lebih berkesan untuk disesuaikan dengan perubahan taburan hujan pada masa ini.

Beliau berkata demikian kepad pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Air Larian Hujan, Kawalan Hakisan dan Kelodak Kebangsaan di Hotel TH di sini hari ini.

Seramai 150 kalangan profesional menghadiri persidangan anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan MSO bagi membincangkan mengenai dasar, garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh JPS bagi menguruskan air larian hujan serta kawalan hakisan daripada pembangunan.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Sumber Asli) Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Suhaimi Mamat dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu, Idrus Ahmad. - UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

Jabatan Pengairan Dan Saliran
Negeri Pulau Pinang
Paras 55, KOMTAR, 10000, Jalan Penang
Pulau Pinang, Malaysia

Tel : +604 650 5280
Faks : +604 261 3435

  • Tarikh Kemaskini: 23 Oktober 2024.
0393374
Bulan Ini: 2,315
Jumlah Pelawat: 393,374

Hakcipta Terpelihara © 2024 Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Pulau Pinang

Sesuai dilayari menggunakan Mozilla Firefox versi terkini dengan resolusi skrin 1366 x 768 keatas

Image
Image
Image