faq2  hubungi2 maklumbalas2  peta2

Chow Kon Yeow

 

Peruntukan RM1.1 juta dalam & baik Sg Junjung, Sg Duri, Sg Jawi - Exco

BUKIT TAMBUN - Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang memperuntukkan RM 1.093 juta untuk projek memperdalam dan membaiki Sungai Junjung, Sungai Duri dan Sungai Jawi di sini.

Menurutnya, ini mungkin projek perintis untuk Kerajaan Negeri mendapatkan pulangan hasil royalti daripada kontraktor yang dilantik untuk kerja-kerja pengorekan pasir sungai.

"Sebelum ini, bagi pelaksanaan kerja pengorekan pasir, selain sungai dapat didalamkan, Kerajaan Negeri tidak mendapat apa-apa hasil.

"Melalui projek perintis ini, Kerajaan Negeri akan mendapat hasil melalui bayaran royalti setelah kontraktor mendapat kelulusan Permit 4B (Lesen Pendudukan Sementara), dan permit yang disatukan di bawah Bab 3 Kanun Tanah Negara 1965, yang mana permohonan adalah di dalam kontrak," jelas Kon Yeow pada Majlis Pecah Tanah Projek Mendalamkan dan Membaiki Sungai Junjung, Sungai Duri dan Sungai Jawi di sini pagi ini.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota turut memuji cetusan idea inovasif Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Ir. Sabri Abdul Muluk, sehingga menjadi hasil baharu kepada Kerajaan Negeri.

"Kerajaan Negeri dijangka mendapat hasil melalui skop pengorekan pasir sebanyak RM230,000, melalui korekan 32,000 meter persegi, bersamaan 57,000 metrik tan (pasir).

"Melalui projek perintis ini, saya berharap kaedah-kaedah yang dilaksanakan oleh JPS dan Pejabat Tanah dapat diteruskan, dan memberi pulangan hasil baharu kepada negeri ini," ujarnya.

Sebelum itu, Sabri menyatakan bahawa kerja-kerja menaik taraf tebing Sungai Duri sepanjang 350 meter (m) menggunakan kaedah tembok Gabion; pemasangan jerucuk konkrit sepanjang 100m tebing Sungai Jawi; kerja memperdalam Sungai Junjung adalah melibatkan kerja pengorekan pasir sepanjang 4 kilometer dari Kampung Kuala Tasek hingga Jalan Persekutuan Simpat Empat di sini.

"Melalui projek perintis ini, diharapkan akan mengurangkan risiko banjir kilat di Kampung Sethu, Sekolah Menengah Agama Ad-Diniyyah, Taman Sungai Duri, Kampung Lima, Kampung Surau dan beberapa lagi kawasan sekitarnya," katanya.

ADUN Bukit Tambun, Dato' Law Choo Kiang yang juga Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani dan Penolong Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Illias Masri Abdul Muin turut sertai majlis ringkas tersebut.

 

 

kon yeow 605x340

Exco negeri, Chow Kon Yeow berkata, wang yang dikutip melalui caruman saliran oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan diserahkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang (JPSPP) itu telah dimanfaatkan dengan sebaiknya kerajaan negeri.

“Sebagai contoh, bagi tempoh Tahun 2008 hingga 2017, Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Tebatan Banjir telah meluluskan perbelanjaan sebanyak RM176.9 juta untuk projek-projek tebatan banjir walaupun kutipan bagi tempoh ini hanya berjumlah RM131.9 juta.

“Ini membuktikan ketegasan pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam usaha menangani masalah banjir kilat di negeri ini,” katanya yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri dalam kenyataan, hari ini.

Bukan itu sahaja, katanya yang juga Adun Padang Kota, kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta dalam Belanjawan 2017 untuk membiayai sembilan projek tebatan banjir berimpak tinggi.

Menyentuh perkara berkaitan, Kon Yeow berkata, pihak kerajaan negeri, JPSPP dan MPSP telah mengambil maklum mengenai teguran Ketua Audit Negara dalam laporannya berhubung kelemahan dalam penyerahan hasil caruman saliran.

Sehubungan itu, katanya, pihak MMK Kerajaan Negeri dan MMK Tebatan Banjir telah mengeluarkan arahan kepada MPSP untuk menyerahkan baki kutipan terkumpul kepada JPSPP yang dijangka selesai pada penghujung tahun ini.

“Manakala kutipan yang semasa perlu diserahkan kepada JPSPP setiap tiga bulan supaya projek-projek tebatan banjir dapat diluluskan untuk pelaksanaan,” katanya.

BANJIR TELUK BAHANG (Berita 21817)

 

BALIK PULAU - Lebih 100 rumah di kawasan Dun Teluk Bahang, di sini dilanda banjir kilat hari ini berikutan hujan lebat yang berterusan lebih empat jam awal pagi tadi.

Kawasan yang terjejas ialah Teluk Bahang, Kuala Sungai Pinang, Bukit Kecil, Sungai Pinang, Kampung Nelayan dan Teluk Awak apabila rumah di kawasan itu dinaiki air sehingga 0.5 meter. Banjir surut kira-kira pukul 8 pagi selepas hujan berhenti.

Adun Teluk Bahang Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah berkata, beliau dimaklumkan oleh penduduk rumah mereka mula dinaiki air sejak pukul 5 pagi selepas hujan lebat bagaimanapun tiada mangsa dipindahkan.  

"Saya turun melihat mangsa yang terlibat...ada dua buah rumah di kawasan Kuala Sungai Pinang rosak di bahagian bumbung kerana ribut dan pokok tumbang. Kami akan membantu mereka segera untuk membaiki bumbung yang rosak itu," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Seorang penduduk, Mohd Azhar Ismail, 42, berkata rumahnya dinaiki air kira-kira pukul 5 pagi dan bimbang air semakin naik, beliau bersama isteri mula memindahkan barang-barang elektrik ke tempat lebih tinggi.

Mohd Azhar yang tinggal di Kampung Nelayan berkata air terus naik dalam masa setengah jam dan surut selepas hujan berhenti kira-kira pukul 7 pagi.

Hujan lebat itu turut menyebabkan beberapa kawasan di Pulau Pinang mengalami kesesakan teruk antaranya Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Bayan Lepas, Bayan Baru dan George Town.

Sementara itu, di Pulau Mertajam, Penaga dekat sini sebanyak 32 rumah dinaiki air bermula pukul 4 pagi selepas hujan lebat sejak 12 tengah malam tadi. Tiada mangsa dipindahkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Pulau Mertajam Shamsul Shamsudin berkata banjir kilat kali ini disifatkan paling teruk kerana sebelum ini hanya melibatkan sekitar tujuh rumah sahaja di kawasan berkenaan.

"Kalau hujan lebat lebih tiga jam di sini selalunya hanya beberapa rumah sahaja dinaiki air tapi kali ini lebih 30 rumah kena (dinaiki air). Kami harap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat sesuatu bagi menangani masalah ini," katanya.

Adun Penaga Datuk Mohd Zain Ahmad yang melawat mangsa banjir bersama pegawai JPS berharap pihak berkenaan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan itu kerana ia menjejaskan penduduk.

Emas Punca Pencemaran Sungai Pinang

artikel 2Keadaan Sungai Pinang yang sering menjadi isu topik pencemaran, namun masih tidak dapat diselesaikan.

 

Percaya atau tidak emas antara punca berlakunya pencemaran di Sungai Pinang, iaitu salah satu sungai paling tercemar teruk di negeri ini.

Perkara itu didedahkan Penolong Pengarah Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Mohamad Nor Hafiz Noor Azmi. Menurutnya, perindustrian mencuci dan membentuk emas di sepanjang Sungai Pinang antara yang dikenal pasti JPS sebagai lokasi punca pencemaran di sungai berkenaan.

“Terdapat dua kilang perindustrian emas di sana yang kami kenal pasti antara penyumbang kepada pencemaran ini sejak Program 1Negeri 1Sungai mula wujud. “Ini kerana adanya bahan kimia yang digunakan untuk mencuci emas ini namun kecantikannya ‘membunuh’ sungai,” katanya.

Kerja membersihkan emas melibatkan sejenis bahan seperti merkuri, yang mana mampu membersihkan kotoran yang terdapat pada emas. Namun, merkuri berkenaan mampu merosakkan paru-paru selain menjadi penyumbang kepada pencemaran udara dan juga air.

Gelombang Air Pasang Besar Pertengahan Oktober

 

artikel 3

 

Gelombang kedua fenomena air pasang besar dijangka melanda kawasan pantai barat Semenanjung pada pertengahan Oktober ini dengan ombak setinggi enam meter yang membawa kesan lebih buruk da­ripada yang berlaku kelmarin.

Ketua Penolong Pengarah Ka­nan Bahagian Pengurusan Zon Pantai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Ir. Arman Mokhtar berkata, keadaan itu berlaku sekiranya terdapat pertembungan air pasang besar, ombak kuat, angin kencang dan hujan lebat.

“Air pasang besar dengan ombak melebihi 5.6 meter yang berlaku kelmarin adalah luar biasa. Justeru kita mengambil inisiatif untuk meninggikan ban-ban sepanjang pantai termasuk cadangan penanaman semula pokok paya bakau.

“Insiden sama akan berlaku lagi pada pertengahan Oktober disusuli November serta Disember dengan perhatian khusus akan diberikan pada kawasan yang berkemungkinan berlaku banjir kilat seperti kawasan rendah dan pesisiran pantai,” kata­nya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bermula 18 September lalu, fe­nomena air pasang besar menyebabkan beberapa kawasan pantai di Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang mengalami banjir.

Keadaan arus deras air pasang besar dengan ombak setinggi bangunan dua tingkat itu menyebabkan beberapa ban pecah dan rosak menyebabkan lebih 500 penduduk di negeri-negeri tersebut terpaksa dipindahkan berikutan limpahan air.

Menurut Arman, pihaknya bersedia dengan segala kemungkinan termasuk menambah baik sistem pengawasan air pasang surut dan memberi amaran awal kepada penduduk yang terdedah kepada fenomena tersebut.

“Dengan keadaan iklim dunia ketika ini, kejadian begini tidak dapat dielakkan, namun boleh diramal dari awal, bukan seperti bencana tsunami. Saya nasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan pantai sentiasa berwaspada dan berhati-hati serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu di Shah Alam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib berkata, air pasang besar yang lebih buruk akan membuatkan paras banjir lebih tinggi.

Katanya, di Sabak Bernam, ban yang rosak di Sungai Air Tawar sudah diperbaiki oleh JPS manakala kerosakan di Kampung Sungai Lang dan Kampung Sungai Apong dalam proses pembaikan.

“Projek menaik taraf ban di Sungai Lang sepanjang 730 meter dijangka bermula bulan depan dengan anggaran kos keseluruhan RM3.5 juta termasuk kajian dan reka bentuk,” ujarnya.

Jabatan Pengairan Dan Saliran
Negeri Pulau Pinang
Paras 55, KOMTAR, 10000, Jalan Penang
Pulau Pinang, Malaysia

Tel : +604 650 5280
Faks : +604 261 3435

  • Tarikh Kemaskini: 23 Oktober 2024.
0393374
Bulan Ini: 2,315
Jumlah Pelawat: 393,374

Hakcipta Terpelihara © 2024 Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Pulau Pinang

Sesuai dilayari menggunakan Mozilla Firefox versi terkini dengan resolusi skrin 1366 x 768 keatas

Image
Image
Image