Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Hamim Samuri berkata, kebanyakan sistem saliran sedia ada di kawasan terbabit tidak mampu lagi menampung kuantiti air hujan terlalu tinggi secara mendadak yang diburukkan lagi oleh pembangunan yang tidak dikawal.

“Perubahan iklim global itu menyebabkan kita tidak dapat lagi menjangka jumlah keamatan hujan di sesuatu kawasan berdasarkan data lampau selain taburan (hujan) yang tidak lagi mengikut musim selain perubahan lokasi tumpuan (hujan).

“Umpamanya ada beberapa kawasan lembangan sungai di negara ini yang dahulu merupakan kawasan tadahan hujan kerana faktor muka bumi kini tidak lagi menerima hujan dalam kuantiti tinggi. Perubahan ini didapati semakin ketara sejak setahun lalu,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau berkata, kajian terperinci perlu dilaksanakan dengan bantuan ahli profesional seperti Pertubuhan Air Larian Hujan Malaysia (MS0) bagi membantu kerajaan menentukan kaedah reka bentuk sistem saliran yang lebih berkesan untuk disesuaikan dengan perubahan taburan hujan pada masa ini.

Beliau berkata demikian kepad pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Air Larian Hujan, Kawalan Hakisan dan Kelodak Kebangsaan di Hotel TH di sini hari ini.

Seramai 150 kalangan profesional menghadiri persidangan anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan MSO bagi membincangkan mengenai dasar, garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh JPS bagi menguruskan air larian hujan serta kawalan hakisan daripada pembangunan.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Sumber Asli) Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Suhaimi Mamat dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu, Idrus Ahmad. - UTUSAN ONLINE