Ketua Penolong Pengarah Ka­nan Bahagian Pengurusan Zon Pantai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Ir. Arman Mokhtar berkata, keadaan itu berlaku sekiranya terdapat pertembungan air pasang besar, ombak kuat, angin kencang dan hujan lebat.

“Air pasang besar dengan ombak melebihi 5.6 meter yang berlaku kelmarin adalah luar biasa. Justeru kita mengambil inisiatif untuk meninggikan ban-ban sepanjang pantai termasuk cadangan penanaman semula pokok paya bakau.

“Insiden sama akan berlaku lagi pada pertengahan Oktober disusuli November serta Disember dengan perhatian khusus akan diberikan pada kawasan yang berkemungkinan berlaku banjir kilat seperti kawasan rendah dan pesisiran pantai,” kata­nya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bermula 18 September lalu, fe­nomena air pasang besar menyebabkan beberapa kawasan pantai di Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang mengalami banjir.

Keadaan arus deras air pasang besar dengan ombak setinggi bangunan dua tingkat itu menyebabkan beberapa ban pecah dan rosak menyebabkan lebih 500 penduduk di negeri-negeri tersebut terpaksa dipindahkan berikutan limpahan air.

Menurut Arman, pihaknya bersedia dengan segala kemungkinan termasuk menambah baik sistem pengawasan air pasang surut dan memberi amaran awal kepada penduduk yang terdedah kepada fenomena tersebut.

“Dengan keadaan iklim dunia ketika ini, kejadian begini tidak dapat dielakkan, namun boleh diramal dari awal, bukan seperti bencana tsunami. Saya nasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan pantai sentiasa berwaspada dan berhati-hati serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu di Shah Alam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib berkata, air pasang besar yang lebih buruk akan membuatkan paras banjir lebih tinggi.

Katanya, di Sabak Bernam, ban yang rosak di Sungai Air Tawar sudah diperbaiki oleh JPS manakala kerosakan di Kampung Sungai Lang dan Kampung Sungai Apong dalam proses pembaikan.

“Projek menaik taraf ban di Sungai Lang sepanjang 730 meter dijangka bermula bulan depan dengan anggaran kos keseluruhan RM3.5 juta termasuk kajian dan reka bentuk,” ujarnya.