eb6e32e010d30f63a4c33e3feaa4f28e

 


 

Pulau Pinang Dilanda Banjir

 


 

Lebih 50 kawasan di Pulau Pinang dilanda banjir selepas hujan lebat sejak pukul 11 malam tadi sehingga kini menyebabkan sebuah pusat pemindahan sementara dibuka di Kubang Semang, Bukit Mertajam.

Sebanyak 15 kawasan di bahagian pulau negeri ini dinaiki air manakala selebihnya membabitkan lokasi di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU), dengan paras air antara 0.1 meter hingga 0.4 meter.

Ketua Polis Daerah SPT ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata sebuah pusat pemindahan dibuka iaitu di Sekolah Agama Nahdatul Islah di Kubang Semang yang menempatkan lima orang daripada sebuah keluarga.

"Keluarga itu dipindahkan ke pusat berkenaan kira-kira 8 pagi ini selepas rumah mereka di Kubang Semang dinaiki air hingga paras 0.5 meter. Setakat ini, pihak polis bersama bomba dan Angkatan Pertahanan Awam sedang membuat pemantauan di kawasan dinaiki air," katanya di George Town hari ini.

Beliau berkata antara kawasan yang dinaiki air di daerah SPT ialah Taman Mutiara, Kampung Padang Lalang, Kampung Permatang Rawa, Jalan Tembikia, Taman Makok, Taman Cantek, Taman Siakap, Taman Usaha, Taman Amra dan Jalan Bagan Lalang.

Nik Ros Azhan berkata puluhan rumah di kawasan yang terlibat turut dimasuki air namun masih di peringkat berjaga-jaga dan jika hujan berterusan kemungkinan penduduk yang terlibat akan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Katanya selain itu, susur keluar ke Permatang Pauh di Lebuh Raya Utara Selatan turut ditutup kepada lalu lintas kerana air naik hingga 0.5 meter dan berbahaya kepada pengguna jalan raya dan ia turut menyebabkan kesesakan teruk dari Sungai Dua ke Perai.

917c72e26cfd4da52aa5154f3bd96841

 

 

Seorang penduduk di Permatang Rawa, Mohd Razak Ahmad Awang, 46, berkata sejak semalam beliau, isteri dan tiga anaknya tidak tidur kerana bimbang rumah dimasuki air selepas hujan lebat sejak pukul 11 malam di kawasan itu.

"Rumah kami mula dimasuki air banjir sejak pukul 3 pagi ini dan kira-kira 15 buah rumah di sini turut dimasuki air, nasib baik air masih di paras betis sahaja.Tapi saya dah bersedia untuk dipindahkan jika banjir semakin buruk," katanya kepada Bernama.

Bagi kawasan SPU, antara tempat yang dinaiki air banjir ialah Mak Mandin, Jalan Raja Uda, Butterworth, Taman Sungai Rambai, Taman Bunga Raya dan Taman Senangin, namun tiada mangsa yang dipindahkan.
Sementara itu, di bahagian pulau sekurang-kurang 15 kawasan dinaiki air membabitkan daerah Timur Laut antaranya Kampung Makam, Lebuh Kimberley, Lorong Baru, Lebuh Cecil, Jalan Sungai Ujong, Jalan Magazine dan Lebuh Cintra. Kawasan yang terjejas di daerah Barat Daya pula ialah Teluk Kumbar, Sungai Batu dan Sungai Ara.

Jalan P.Ramlee yang merupakan kawasan paling kerap dilanda banjir kilat di Pulau Pinang turut ditutup kepada lalu lintas selepas air banjir mencecah 0.5m, namun setakat ini tiada penduduk yang dipindahkan. 

- Bernama